JUN 2022

Pelaksanaan Projek Sarawak Cepat, Menyeluruh


KUCHING: Pemindaan Ordinan Hutan dan Kanun Tanah Negeri oleh kerajaan negeri merupakan satu daripada kaedah baharu bagi menambah sumber pendapatan di Sarawak. 

Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemindaan itu melibatkan Perdagangan Karbon dan Spektrum.

"Kaedah lain menerusi pengeluaran hidrogen dengan penggunaan sumber tenaga baharu serta merancang menubuhkan dana kekayaan berdaulat sendiri.

"Kaedah seterusnya pula menjual tenaga lebihan dari projek Hidro Elektrik Bakun ke Sabah dan Kalimantan, Indonesia," katanya pada perasmian Perhimpunan Agung Ke-15 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), di sini.

Majlis itu dirasmi Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Hadir sama, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Bersatu (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dan pemimpin tertinggi Parti PBB.

Timbalan Premier Sarawak terbabit menambah, Sarawak menyaksikan pelaksanaan projek dengan cepat, pesat dan menyeluruh sejak lima tahun lalu.

Katanya, ia termasuk projek infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, pembinaan tiga jambatan yang dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu Jambatan Batang Rambungan, Batang Lupar serta Batang Igan dan lain-lain.

"Dalam lima tahun kebelakangan ini, Sarawak tidak pernah menikmati autonomi sebanyak yang kita ada sebelum ini. Ini semua berkat Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya.

Menurutnya, lima agensi pembangunan di kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (RECODA) ditubuh setakat ini.

"Antaranya ialah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (HDA), Agensi Pembangunan (NRDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara Sarawak (NRDA) dan Agensi Pembangunan Samarahan Wilayah Bersepadu (IRSDA).

"Setiap agensi pembangunan diperuntuk sebanyak RM1.5 bilion untuk melaksanakan projek pembangunan di wilayah masing-masing," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti